Foto sekadar hiasan. Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Kisah ni berlaku ketika saya menumpang tidur di rumah sewa kawan tunang saya. Saya namakan dia sebagai Alya untuk memudahkan saya bercerita.
Saya terpaksa tumpang bermalam di rumah Alya kerana pada keesokan paginya saya ada sesi temuduga di sebuah syarikat engineering.
Selesai makan malam bersama. Tunang terus menghantar saya pulang ke rumah Alya. Apabila saya tiba, Alya dan beberapa orang temannya sedang makan malam.
“Jom makan sekali…” Laung Alya sambil memandang saya.
“Baru sudah.. Bismillah… Jemput makan…” Jawab saya ringkas terus berlalu ke bilik.
“Eh, maaf… Saya fikir bilik ni kosong…” Kelihatan seorang perempuan sebaya saya sedang berbaring menghadap dinding.
“Tak pa, Alya dah bagitau awak nak tumpang tidur sini…” Katanya tanpa memandang ke arah saya.
“Tak pa, kalau rasa mengganggu, saya boleh tidur di ruang tamu…” ujar saya sekadar mengambil bahasa kerana bimbang mengganggu privasi orang lain.
“Ok jer, bilik ni besar katil pun luas. Tak mengganggu pun…” Katanya lembut sambil berpaling memandang saya.
Saya hanya tersenyum dan mencapai tuala untuk mandi. Memang sudah menjadi rutin harian saya untuk mandi sebelum tidur.
Keluar daripada bilik, masing-masing sudah berada dalam bilik sendiri. Saya terus ke dapur.
Keadaan dapur yang agak berselerak itu mengganggu emosi saya. Pinggan mangkuk yang tidak bercuci itu ditinggalkan begitu sahaja tanpa membuang sisa-sisa dan tulang-tulang ke dalam tong sampah.
Adat menumpang, saya cuba untuk membantu. Saya masukkan plastik-plastik yang bertaburan dalam sinki ke dalam tong sampah dan sisa-sisa makanan itu saya himpun dalam beg plastik.
“Eh tak yah susah-susah , nanti Nora buat..” Alya tiba-tiba berada di belakang saya.
“Lupa nak bagitau, bilik yang awak tidur tu bilik Nora. Nora tu kerja cleaner kat kilang kami kerja, jadi kami upah untuk kemas-kemas rumah juga… Dapatlah sikit dia duit lebih… ” Sambung Alya lagi.
Tak jadi saya nak tolong cuci pinggan mangkuk tersebut.
Usai mandi saya berbaring di sebelah Nora. Kelihatan Nora sedang leka membaca novel. Saya terus menarik selimut tidak mahu mengganggu dia, lagi pula esok saya mesti bangun awal untuk sesi temuduga.
“Awak tidur lah, saya nak kemas dapur.” Nora bangun daripada katil.
“Nak saya tolong ke?” Saya cuba menghulurkan pertolongan kerana memikirkan dapur sangat berselerak.
“Tak apa… Urrrmmm… Awak sangat baik… Tidur lah..” Nora menolak niat baik saya dengan lembut.
Saya melihat jam di meja. Tepat pkul 3 pagi dan Nora masih belum kembali ke bilik. Tekak saya mula berasa haus dan saya bangun untuk mendapatkan air di dapur.
“Eh… Gelap…” Gerutu hati saya bila mendapati lampu dapur tidak dibuka.
Perlahan saya menyusur dalam gelap untuk mencari suis lampu. Tiba-tiba terdengar seperti orang sedang mengunyah tulang.
Kruk… kruk… kruk… kruk…
Sesekali ada suara seperti menelan makanan dengan rakusnya. Saya beranikan diri menghampiri arah bunyi tersebut untuk memastikan apakah yang saya dengar itu.
Allah… Kelihatan Nora sedang meratah sisa-sisa tulang dan menjilat bekas-bekas makanan yang telah saya buang ke dalam tong sampah itu tadi satu persatu dengan rakusnya.
Saya menutup mulut saya kerana sudah mula berasa sangat loya.
Kemudiannya Nora beralih pula ke arah pinggan mangkuk di sinki. Lidah Nora yang panjang itu jelas kelihatan ‘menyapu’ semua sisa-sisa di pinggan sehingga licin kemudian barulah di cucinya kembali.
Saya yang berdiri agak lama di situ terus berlari ke bilik lalu selubung diri dengan selimut bila melihat Nora hampir selesai ‘mengemas’.
Tidak lama kemudian, Nora kembali ke bilik dan berbaring di sebelah saya.
“Bila dah dapat kerja nanti, jangan menetap di sini… Jangan takut saya tak akan ganggu awak selagi awak tidak mengganggu ‘belaan’ saya mencari makan.” Kata Nora lembut sebelum lelap.
Saya menggigil menahan perasaan takut. Keesokan pagi, saya angkut semua barang-barang saya ke dalam kereta tunangan saya.
“Habis interview saya nak balik Pahang terus.” Kata saya sedikit mengarah… Tunang saya tanpa bertanya kenapa, terus bersetuju.
Alhamdulillah saya tak dapat kerja tu, mungkin sewaktu interview tersebut perasaan saya bercampur baur… Balik lah saya ke Pahang setelah menjadi tetamu satu malam di rumah Alya…
Jadi sebelum saya akhiri kisah ini, ingin saya berpesan kepada para pembaca. Jangan tinggalkan sinki yang penuh dengan sisa makanan sebelum tidur.
Pastikan sampah dibuang keluar rumah dan pinggan mangkuk mesti dicuci dengan sempurna kerana jin suka menjilat sisa makanan kita.
Ini antara reaksi netizen untuk kisah ini.
Raudah. Ni kalau penat memalam tak daya nak ngemas, kena letak signboard – “Dah tabur racun. Jilat atas tanggungan sendiri”
Yasama. Dulu anak sy kat tadika, dia cerita masa ambil air kat dapur tadika dia nampak makhluk hijau kaki dan tangan panjang duduk mencangkung jilat makanan tak bertutup kat dapur dengan lidah panjang.
Cikros. Aku terbayangkan masa Nora tu masuk bilik lepas settle mengemas, dia akan cakap “Dah tahu ye…”
Rahmam. Habis baca ni sy tetiba insaf, lepas ni dah kalau bole tak nak sisakn mkanan dlm rumah.. Kalau bole terus buang, Aaahhh sudahhh.. Malam ni biar je la sisa tu,takut pulak nak ke dapur .. Janji, malam ni je
Farhana. Saya pon pernah mengalami ke s mcm ni, tp bukan sisa makanan la, ni mmg sisa haid org pempuan xcuci… nk tlg cuci geli, tlg buang je la…
balek dr study kat bilik kawan dlm kul3 lebih pagi macam tu, dgr ada org nanges sambil korek2 tong sampah, tanpa pikir apa2 saya ckp, dh malam ni sis, esk pagi jela cari barang yg dah ilang tu, makcik cleaner biasa kutip sampah kul8pagi
skali dia toleh dengan mata merah, naseb baek tak pakai spec masa tu.. jadi nampak kabur2 je…
saya terus terdetik tak sedap hati, sambung cakap, owh, barang penting ke, teruskan la cari…dan dengan laju nya berjalan utk balek ke bilik…