Foto sekadar hiasan. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Belakangan ini saya perhatikan banyak menyiarkan luahan hati beberapa orang wanita yang mengadu tentang ragam mertua masing-masing, dan menariknya mereka berkongsi masalah yang sama iaitu ketidak selesaan mereka di rumah mertua mereka yang kotor dan busuk. Mula-mula sebuah confession, kemudian diikuti beberapa orang yang lainnya ikut berkongsi masalah yang sama sehingga saya dapat rasakan hal ini berlarutan malahan hampir setiap hari kita dapat membaca pelbagai versi cerita mertua pengotor.
Sudah seperti medan tempur jadinya laman ini, mahu bertanding mertua siapa paling pengotor.
Awalnya saya tidak ambil serius, tetapi setelah membaca sekian banyaknya perkongsian mereka, saya merasa terpanggil untuk menulis pengalaman hidup saya sendiri, yang mungkin boleh membuatkan kita berfikir dari perspektif yang berbeza.
Saya seorang perempuan, umur saya 28 tahun, belum berkahwin. Saya tidak pernah bergelar menantu kepada sesiapa, dan belum pernah ada pengalaman hidup bersama mertua.
Saya sedar saya mungkin bukan orang yang layak untuk bercakap hal begini, tetapi sebelum menilai minta jasa baik tuan/puan baca dahulu tulisan saya.
Saya anak perempuan bongsu daripada lima beradik, semua mereka sudah berkerjaya dan berumahtangga dan usia mereka sekitar 40 tahun dan ke atas. Abang sulung umur 50an.
Saya lahir saat mereka semua sudah pun remaja bahkan ada yang sudah bekerja. Saya adalah seorang anak yang lahir hasil terbabas. Hehe. Memandangkan mereka semua sudah berumahtangga, ini menjadikan mak saya mempunyai tiga orang menantu perempuan.
Saya tinggal di kampung bersama mak. Hanya berdua bersama belasan ekor kucing. Jujur saya akui mak dan arwaah abah bukanlah orang yang senang. Mereka tiada segunung harta, tiada gelang emas untuk dipakai sampai ketiak, tiada tanah berelung berekar buat diwariskan sampai ke tujuh keturunan. Tiada.
Abah dan mak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yang ada hanyalah tanah sekangkang kera tempat kami bina rumah sederhana buat berlindung daripada panas dan hujan.
Mak dan abah membesarkan abang dan kakak saya dengan penuh susah dan payah. Arwaah abah buat dua, tiga kerja sehari demi nak kenyangkan perut anak-anak. Mak sengkang mata jahit baju untuk bantu abah tampung serba sedikit wang sekolah anak-anak.
Alhamdulillah kesemua adik beradik saya berjaya belajar sampai genggam segulung ijazah lalu seterusnya dimudahkan mendapat kerja dalam sektor kerajaan yang menjamin masa hadapan mereka.
Lain ceritanya dengan saya. Saya lahir waktu usia mak dan abah sudah menjengah 40-an. Saya baru sekolah rendah, abah dah pergi tinggalkan kami. Tinggal mak sendiri membanting tulang demi memastikan saya dapat ke sekolah.
Mak kerja kedai makan sebagai tukang masak. Hari cuti saya tolong mak, saya pandai buat air. Hehe
Pagi-pagi lepas subuh mak menoreh dulu, hari cuti saya tolong mak kutip getah. Saya masih ingat mak menangis, sebab getah hilaang kena curi. Letih hari-hari menoreh, getah dah penuh pot senang-senang orang ambil. Bila teringat kenangan ni, saya automatik sebak. Kesian mak.
Saya tamat SPM, usia mak dah lewat 50-an. Walaupun keputusan SPM saya agak baik, saya menolak untuk sambung belajar.
Mak tak sihat. Saya tak sampai hati nak tengok mak terus bekerja demi nak sara saya ke menara gading. Usia macam mak sepatutnya berehat, bukan bekerja. Jadi saya kerja, lepas beberapa bulan kerja saya rasa stabil dan mampu sara hidup, saya minta mak berhenti kerja. Mak akur walaupun rasa tak yakin.
Rumah kami rumah kampung, separuh batu separuh papan. Rumah lama, bila tengahari panasnya minta ampun. Kalau duduk di dapur macam dibakar ketuhar rasanya. Atap zink tak bersiling, yang pernah melalui pasti akan faham.
Rumah kami banyak kucing. Mak saya pencinta haiwan tegar. Saya pun sama. Walaupun hidup kami serba sederhana, tetapi kami bukanlah pemalas dan pengotor sampai tergamak biarkan sampah berulat, lauk bawah tudung saji berkulat dan membiarkan tahi kucing di merata-rata tempat.
Kami bukanlah pembersih level ekstrim, tapi bukan juga pengotor yang melampau.
Mak pengemas, susun apa-apa mesti sama warna, sama jenis. Lantai juga sapu setiap hari, kipas bersihkan setiap minggu, kain harini basuh harini lipat, tak pernah dibiarkan sampai jadi gunung.
Cuma perabot kami, rak-rak, kerusi rotan, kusyen semuanya trend lama. Dah buruk, dah lapuk, ketinggalan zaman.
Adik beradik saya duduk jauh-jauh. Balik kampung setahun beberapa kali saja. Tapi bila balik, selalu merungut rumah mak panas, berhabuk, lantai berlengas dan berbau busuk.
Pelik saya, jarang-jarang jumpa mak, bila sekali sekala balik tak teringinkah mahu ambil hati mak, santuni mak, buat mak rasa dihargai?
Tidakkah mereka tahu betapa mak rindu mereka. Sayangnya mereka dah tak macam dulu. Dah berubah, dah berduit berharta, sampai lupa dulu sinilah tempat membesar.
Menantu-menantu perempuan mak geli dengan kucing, bila balik asyik mengeluh sebab kucing ada di mana-mana. Bila bangun pagi, merungut tandas busuk tahi kucing. Kucing rumah kami memang di train untuk berak di tandas, sebab senang tinggal flush ataupun simbah saja dengan air.
Orang yang bela kucing akan faham senangnya kalau dapat kucing yang pandai ke tandas. Tak berak merata, tak busukkan udara luar rumah, tak kotorkan lantai. Tapi orang yang tak suka kucing takkan pernah faham. Mereka akan merungut geli, busuk dan sebahagainya.
Dulu masa saya sekolah, saya cuma mampu tersengih saja bila acapkali mereka balik merungut itu dan ini. Kakak ipar saya sepuluh kali balik sepuluh kali tegur langsir. Langsir buruk, daripada dia kahwin sampai anak dia umur dah 11 tahun kami tak ganti-ganti langsir baru.
Saya teringin nak ada duit banyak, nak buat rumah baru, nak rumah cantik macam orang lain.
Apa nak buat, gaji mak RM25 sehari itulah untuk kami isi perut. Daripada beli langsir baik beli ayam, perut kenyang, hati senang. Aneh bagaimana saya kuat untuk tersenyum saat itu, kerana setiap kali mengingatnya semula kini, hati saya menjadi sebak.
Pada suatu hari raya, kami raya rumah adik mak. Rumah dia cantik, rumah taman. Lantai mozek, ada aircond, sofa empuk.
Balik raya tu, kami dah sampai rumah, lalu kakak ipar saya (Kak Mira) cakap tenang saja rasa pergi rumah makcik tadi. Bersih saja, dia seakan-akan cuba membezakan rumah kami dengan rumah makcik.
Katanya dia saakit kepala tiap kali balik rumah mak. Dia cakap, cuba la adik dengan mak kemas rumah ni elok-elok, ganti la kerusi-kerusi rotan tu mana ada orang pakai dah. Mak cuma tersengih, sumbing.
Mak kata nantilah, mak kumpul duit dulu. Abang saya pula kata mak tak pandai simpan duit. Cuba mak tengok mak Mira (mak isteri dia), masak juga pandai simpan duit.
Mak mertua dia pemilik restoran, mak saya masa tu kerja di restoran. Kan jauh beza tu. Jauh panggang dari api, pemilik restoran dengan pekerja di restoran.
Saya perasan juga, dia kalau cerita pasal mertua dia, kalau tak puji melambung tak sah. Dengan keluarga mertua bukan main hormat, cerita semua yang bagus-bagus. Kalau dengan mak, bercakap jarang tak saakitkan hati.
Mertua dia orang berada, tak miskin macam mak saya. Itulah bezanya. Kebenaran yang pahit, di dunia ni ada segelintir orang hidupnya bertuhankan duit. Kena kaya, kena ada duit dulu baru dia layan elok.
Tiada apa yang dapat dibanggakan dengan mak saya. Sekolah tak habis, bawa kereta tak pandai, takda barang kemas sampai siku. Rumah tunggu masa nak rebah menciium bumi. Semua tentang mak, kepunyaan mak tiada yang berharga di mata mereka.
Tapi bagi saya, mak sangat hebat. Saya bangga dengan mak. Mak berjaya besarkan anak-anak tanpa ada seorang pun keciciran pelajaran walaupun dalam kesempitan hidup masa tu.
Mak dan abah buat lebih satu kerja sehari, kerja keras demi nak pastikan perut mereka terisi. Mereka yang lupa, lupa diri, lupa asal usul.
Tanpa mereka sedari, kata-kata dan rungutan mereka mengguris perasaan mak. Bilah-bilah kata yang lancang keluar menusuk tepat ke hati mak. Hati mak rasa dihiris-hiris. Di sebalik senyuman sumbing mak, sengihan selamba mak, siapa tahu betapa hati mak terluk4. Sangat terluk4.
Hari itu saya belajar sesuatu. Banyak mana pun duit kita, besar mana pun pangkat kita, tinggi mana pun ilmu kita, itu semua tidak berguna sekiranya kita tidak mampu menghormati orang tua kita. Itu semua tiada makna jika hati orang tua kita terluk4 dengan sikap kita.
Kepada menantu-menantu yang merasakan diri anda sangat pembersih sekalian, tahukah anda mertua anda yang pengotor, jijik dan menggelikan di mata anda itu adalah orang yang melahirkan suami anda, imam anda dan bapa untuk anak-anak anda hari ini.
Mertua yang anda jijik itu adalah orang yang menumpangkan rahim kepada suami anda sebelum dia lahir ke dunia.
Mertua yang pengotor itu adalah orang yang bertarung ny4wa dengan penuh kesaakitan semasa melahirkan pasangan anda.
Mertua yang pemalas itu adalah orangnya yang membanting tulang empat keratnya demi memastikan suami anda sekarang itu mendapat pendidikan yang terbaik, supaya dia menjadi orang yang berguna di masa sekarang.
Tidak bolehkah anda selaku orang yang kononnya pembersih dan merasa diri paling mulia itu cuba tanamkan sedikit hormat terhadap syurga suami anda sendiri? Tidak boleh langsungkah anda ikhlas menganggap mertua itu sama seperti orang tua anda sendiri?
Apakah perasaan anda sendiri jika orang lain memperlakukan ibu anda juga begitu? Apakah anda akan bersabar dan tersenyum?
Sebelum setuju mahu berkahwin, fikir dahulu masak-masak. Kenal dulu keluarganya. Lawat dulu rumahnya. Fikir habis-habis sebelum setuju. Tanya diri sendiri, boleh terima tak kekurangan si dia sekian-sekian.
Boleh terima tak mak mertua yang tidak kaya? Sebab kahwin ertinya kita mahu habiskan seluruh hidup kita dengan pasangan. Kahwin bukan sehari dua. Setiap orang kalau diizinkan seboleh bolehnya nak perkahwinan tu kekal sampai syurga.
Pilih pasangan bukan macam pilih sayur di pasar. Bukan semudah membeli ikan. Kalau tersilap pilih, kemudian hari menyesal. Sudahnya makan hati, menjeruk rasa. Mulalah drama masam muka. Jaja cerita sana sini. Bongkar aib itu ini. Itu salah ini tak kena.
Sebelum kahwin tanya diri sendiri, sesuai tak keluarga dia dengan aku? Rumah dia aku boleh terima tak?
Dan ingatlah, kita hidup bukan selamanya muda. Sampai masa kita juga akan menjadi tua. Kita juga akan menjadi lemah dan mungkin jauh lebih pengotor daripada mertua yang kita hinakan hari ini.
Hidup tak selamanya di atas. Janganlah terlalu angkuh dan bongkak, janganlah merasa diri kita paling mulia sedangkan kita hanya hamba yang kerdil.
Berbalik kepada cerita saya. Keadaan mula berubah bila saya sudah bekerja. Walaupun masa tu kerja pembantu jualan biasa, saya bersyukur pendapatan saya cukup untuk menyara kehidupan kami berdua.
Saya kerja mula umur 18 tahun. Dah bermacam-macam hal saya lalui, daripada naik motor berhujan berpanas, beli kereta terpakai, kemudian ada rezeki lebih beli kereta baru.
Tahun ini adalah tahun ke-10 saya kerja, jawatan saya sekarang adalah pengurus cawangan yang memerlukn saya selalu ke luar kawasan. Keluar awal pagi, balik jauh malam. Ada masa saya perlu bermalam di luar daerah. Memenatkan, sungguh letih.
Tapi saya puas hati. Walaupun dengan kerja biasa-biasa, saya berjaya baiki rumah mak sedikit demi sedikit.
Saya sudah robohkan bahagian papan, binakan yang baru. Saya gantikan tikar getah dengan lantai tiles supaya lebih kemas dan bersih. Saya buat bilik kami macam hotel, sebab saya perasan mak sangat gembira bila kami bercuti dan bermalam di hotel.
Saya beli langsir baru jenis eyelets, masa saya tebuk lubang untuk pasang kayu langsir tu saya rasa sebak sebab teringat dulu kami teringin nak tukar langsir, tapi duit gaji harian mak cuma RM25. Cukup-cukup untuk makan saja. Sekarang saya dah kerja, akhirnya dapat juga kami ganti langsir.
Bila dah buat rumah baru, saya tukar semua perlahan-lahan, barulah nampak rumah kami bersih. Kami bukan kotor, kami cuma tak mampu nak beli baru dulu.
Mak dah ada facebook, ada instagram. Dah pandai google. Dekat facebook join group deko-deko. Banyaklah idea dia nak begitu begini. Tinggal dia hantarkan gambar kepada saya, atau tag saya. Nanti hari cuti saya akan bawa dia beli apa dia mahu. Kedai favourite dia Valoobuy, Kaison.
Sekarang dia tengah minat tema minimalist. Dapur dah siap tengah buat ruangtamu. Tunggu cuti baru saya nak cat warna yang dia pilih. Sekarang saya nampak, mak bukan takda citarasa, bukan tak pandai mendeko, bukan takda keinginan nak rumah kemas dan cantik, cuma dulu mak tak mampu.
Saya tak kisah berhabis duit untuk mak. Asalkan dia gembira. Mak dah bekerja keras semasa muda. Sekarang masanya mak bertenang dan menikmati kualiti kehidupan yang baik.
Kalau pahlawan-pahlawan gagah tak sudi berjuang untuk bahagiakan mak, tak apa biar puteri bongsu usahakan semua. Hidup ni kalau tak boleh buat orang tersenyum, janganlah pula buat dia bersedih.
Mentaliti masyarakat kita kebanyakannya menganggap definisi anak berjaya adalah anak yang belajar tinggi, kerja kerajaan. Manakala anak yang tidak belajar, kerja biasa-biasa dan tinggal di kampung adalah anak yang gagal.
Pada pandangan saya, anak yang berjaya adalah anak yang berusaha membahagiakan orang tua semampu yang boleh tanpa mengira apa pun kerjaya mereka.
Dan anak yang gagal adalah anak yang berpendidikan tinggi, ada kerja bagus tetapi tidak menggunakan peluang itu untuk membahagiakan tetapi malah menyakiti hati orang tua mereka.
Usia mak dah makin senja. Selagi diberikan kudrat untuk mak sihat beribadat dan berjalan cergas ke sana sini, selagi mak masih ada rasa teringin nak makan itu ini, saya akan penuhi segalanya.
Saya tidak tahu siapa akan pergi dulu, andai takdir jemput mak dahulu saya mahu lembar-lembar akhir kisah hidup mak penuh dengan cerita gembira dan momen yang indah sahaja.
Cukuplah separuh usia hidup mak penuh duka, penuh keluh kesah dan air mata. Mak layak bahagia. Untuk semua luk4 yang mak lalui di masa lalu, saya merayu kepada Tuhan, tolong berikan mak bahagia.
Dulu mak senyum dan tersengih sahaja bila anak menantu perli, bercakap yang pedas-pedas. Seolah-olah mak itu orang-orang di sawah yang tiada air muka dan perasaan.
Tersenyum meski hakikatnya muka rasa malu berinci-inci, hati rasa ditikaam berkali-kali. Tetap sahaja bibir tua itu tersenyum. Sekarang tidak lagi.
Mak dah berubah, saya perasan. Mak sengaja tidak mahu jawab bila mereka telefon. Bila mereka balik kampung pun layanan mak dah berbeza, dulu mak beria masak macam-macam, mak teruja nak berbual meski mereka layan hambar.
Sekarang mak balas benda serupa. Mak tak lagi penat-penat masak, tak lagi bersungguh nak mulakan perbualan. Mak seolah wujudkan tembok, tanya sepatah jawab sepatah. Mak tak kisah kalau mereka tersinggung atau terasa hati.
Saya perasan. Mereka pun perasan. Mak tak gembira bila mereka ada. Mood mak bertukar muram, mak mengeluh tanya saya bila mereka nak pergi. Tapi mak bertukar gembira bila tinggal kami berdua dan kucing-kucing kami.
Saya faham, sudah tentulah kata-kata tajam mereka masih terpahat utuh di hati mak, walaupun dah lama berlalu. Terlajak kata tidak boleh diundur, apa lagi kata yang berbisa.
Walaupun mereka dah tak kutuk rumah mak buruk macam dulu. Tapi mak tidak akan lupa kata sinis, aksi jengkel dan jijik mereka yang buat hati mak terguris.
Adalah menyedihkan bila mak kita masih hidup, tapi mak kita tak suka kita, dan tak gembira bila kita ada. Kita hilaang keberkatan hidup, walhal mak kita masih ada. Kita putus doa dari seorang mak, sebelum tiba masanya. Sangat rugi. Pesanan saya hargailah mak, selagi masih berpeluang.
Mak kita ada satu saja. Sebab di luar sana ramai orang yang menangis merayu merindukan mak mereka, rindu pada orang yang sudah tiada. Tapi ada antara kita sia-siakan peluang yang ada.
Di mulut mak kata mak tak kisah, mak sayang semua. Mak doakan semua berjaya dunia sampai akhirat. Tapi saya tahu luk4 yang berbekas di hati mak akan berparut sampai akhir hayat..Pintu hati mak sudah tertutup, rapat.
Saya tak salahkan mak. Mak dah beri masa, beri peluang terlalu lama. Sayangnya masa itu tiada siapa yang menghargai. Mak diperlekeh, direndahkan di hadapan cucu-cucu tanpa rasa hormat, tanpa segan silu.
Saya tak salahkan mak kalau hari ini mak berubah. Sebab saya saksi semua yang berlaku, bila mak menangis saya ikut menangis. Bila mak terluk4, saya ikut sama. Saya faham saakit hati mak di tahap apa. Mak dah tawar hati.
Saya berharap mereka sempat mendapat keampunan mak sebelum semuanya jadi terlalu terlambat. Saya berdoa semoga suatu hari nanti Allah lembutkan hati mak untuk memaafkan mereka. Biarlah masa menentukan segalanya. Saya cuma nak mak bahagia.
Tak semua orang lahir atas dulang emas. Tak ada siapa boleh pilih mahu lahir atas dulang emas atau tikar mengkuang. Tapi percayalah. Orang yang lahir dalam kesempitan dan kesusahanlah kebanyakannya akan jadi tabah dan cekal dalam kehidupan.
Tak mudah patah, tak mudah rapuh. Sebab apa yang dia nak, semua kena usahakan sendiri. Bukan main petik, main order saja.
Dan percayalah, suatu hari bila awak dah berjaya, dah selesa dalam hidup, awak akan sangat bersyukur dan menghargai nikmat itu. Sebab awak tahu dan pernah merasa betapa lelahnya nak mendapatkan segalanya.
Tapi, tak semua orang yang biasa hidup susah bersyukur bila dah senang sikit. Ada yang terus kufur nikmat, ada yang auto jadi smbong, auto lupa diri. Semoga kita dijauhkan daripada sifat smbong dan bangga diri.
Syukur selalu.
Ramai yang terkesan dengan luahan dari wanita ini. Boleh baca reaksi paling menygat di bawah.
Nazirah.”Adalah menyedihkan bila mak kita masih hidup, tapi mak kita tak suka kita, dan tak gembira bila kita ada. Kita hilaang keberkatan hidup, walhal mak kita masih ada.
Kita putus doa dari seorang mak, sebelum tiba masanya. Sangat rugi. Pesanan saya hargailah mak, selagi masih berpeluang.”
Sedihnya ayat ni. Keberkatan dr seorang ibu adalah kunci kejayaan anak2nya. Patut sound je abang2 yang tak sedar diri tu. Teruskan berbahagia dengan ibu awak selagi ada masa.
Izrain.Maaf..peringatan utk diri sy juga. Sy pernah dgr ceramah di msjid secara kebetulan. Ini bkn mewakili semua anak..jgn terasa.
Mak ayah yg miskin tp ada kesedaran pentingnya pelajaran akan berusaha bsusah payah utk anak2..sanggup bkerja pg sampai ke mlm, bgadai utk anak masuk U shingga mereka x sempat nak betulkn rumah yg mcm reban ayam..
lbih malang lagi tak sempat menabung utk menunaikn haji. Malangnya bila anak da bjaya (x semua), ibu ayah dibiarkn hidup di tahap lama..yg dpt untung anak yg bgaji besar itu ialah psgnnya.
Kesimpulannya dr ceramah tsebut ialah.. Biarlah kita mguntungkn mereka dulu…bkn mguntung org lain bila kita da bjaya.Wallahuallam.
Aisya. Assalam Linda,
Bahagianya seorang ibu dikurniakan anak seperti awak. Teruskan berbakti.
Jangan lupa berdoa supaya awak dijodohkan dgn lelaki yg pandai menghargai ibu awak. Itu sangat penting. Cadangan saya, minta ibu wasiatkan rumah itu atad nama awak. Takut nanti bila ibu pergi, ramai pulak yg menuntutnya. Cadangan sahaja.
Sarah. Sebenarnya tak perlu perabot yang cantik2 untuk dapat rumah yg kemas.. Syed azmi pernah share orang susah tapi keadaan rumah yang sangat teratur dan rapi..awak duduk berdua, lagi senang nak arrange rumah sebenarnya
Ummu. Ramai anak-anak sekarang ni bergaji besar sampai hampir cecah puluhan. Ribu ringgit tapi nak bagi ibu sendiri merasa seratus sebulan pun tak pernah…..ibu masih di takuk lama takkala usianya makin bertambah…
terpaksa membanting tulang lagi demi kelangsungan hidup sedangkan anak-anaknya dan pasangan hidup mewah di kota raya….duhai anak..andai saja engkau mengerti apa yang tersirat dalam hati ibumu saat kau perlakukan dia seperti ini..