Ibu ustazah. Lps niat nak kawen ditentang, Daud ditgkap khalwat. Ibu tkejut lps thu siapa Hannan sebenarnya

Foto sekadar hiasan. Assalamualaikum dan salam sejahtera anak anak semua. Ibu nak ceritakan satu kisah tentang ‘menantu hantu’ ibu. Terima kasih juga pada admin jika penulisan ibu ini disiarkan. Terima kasih juga kepada penulis (CPAmmy) yang sudi olah cerita ibu ini menjadi satu cerita yang tersusun. Terlebih dahulu ibu ingin kenalkan diri ibu kepada kalian semua. Usia ibu 67 tahun, merupakan seorang guru pencen yang bergelar ustazah.

Hidup ibu bukanlah seorang yang berada, sebab itu ibu mahu anak anak ibu semuanya berjaya supaya tidak hidup susah seperti ibu selepas di tinggalkan oleh bapa mereka satu masa dulu. Ibu dikurniakan 5 orang cahaya mata, seorang perempuan dan empat lelaki.

Biasa lah, dalam setandan kelapa itu mesti ada satu atau dua yang rosak. Begitu juga anak anak ibu. Empat daripada 5 orang anak ibu pekerjaan semua bagus bagus kecuali si bungsu ibu yang di panggil Daud. Satu satunya anak yang sering membuat ibu makan hati berulam jantung.

Satu hari, Daud membawa pulang seorang perempuan yang ibu namakan Hannan sebagai calon isterinya. Sebagai seorang Islam pula wajib ibu menghormati tetamu walau jauh di sudut hati ingin sahaja ibu menghalau si Hannan keluar daripada rumah.

Ibu cukup mengenali Hannan kerana Hannan bersekolah di tempat ibu mengajar. Daripada dia tingkatan satu hinggalah tingkatan lima banyak masalah salah laku yang Hannan lakukan.

Hannan seorang perempuan yang agak lincah dan bebas. Ibu sering melihat Hannan membonceng motosikal dengan ramai lelaki silih berganti.

Apabila ibu bertanya kan hal itu kepada Daud, dia hanya mengatakan bahawa itu adalah perkara biasa dan dia tahu Hannan punyai ramai teman lelaki. Tergamam ibu mendengar jawapan daripada Daud itu.

Sebelum mereka bernikah akhir tahun 2017 yang lepas, ibu banyak kali nasihat kan kepada Daud supaya buat pilihan yang tepat. Cari isteri biar baik daripada segi agama, keturunan, akhlak dan adab. Bukan daripada segi harta dan paras rupa kerana itu hanya nfsu semata mata.

Hannan bekerja di sebuah pusat dandanan rambut. Jika kelapangan Hannan akan datang ke rumah ibu untuk menziarahi ibu. Kadangkala sendirian dan adakalanya bersama Daud.

Melihat Hannan, ibu berasa sangat rimas. Pakaian dia yang sendat, rambutnya kadang kala hitam, kadang kala oren dan kadang kala biru sering bertukar tukar itu membuatkan ibu tidak nampak ‘Nur’ seorang isteri yang baik ada di situ.

Ibu menentang perhubungan mereka habis habisan. Ibu malu jika jiran jiran yang datang menghantar anaknya belajar mengaji di rumah ibu tahu di sebalik perempuan yang bertudung itu ada perempuan yang miliki rambut yang boleh bertukar tukar warna. Seorang perempuan liar yang sering bertukar tukar lelaki.

Ibu cuba pujuk Daud supaya melupakan Hannan, malangnya dia berkeras. Ibu cuba memujuk Hannan pula supaya mngal kan Daud dengan alasan, Daud bukan lah seorang yang baik dan tidak mampu membimbing Hannan ke jalan yang di redhai Allah.

Ibu akui Daud bukannya anak yang soleh. Tidak seperti kakak dan abang abang nya yang lain. Solat 5 waktu jauh sekali apatah lagi ibadah sunat yang lain. Daud tidak sesuai dengan Hannan kerana Hannan memerluukan orang yang lebih baik daripada Daud supaya dapat membimbing dia ke syurga.

Mungkin ibu terlebih memanjakan Daud. Maklumlah anak bongsu, semua kemahuan nya ibu turut kan.

Pada usia 20an Daud masih tiada pekerjaan tetap. Belanja harian juga masih bergantung pada ihsan ibu dan adik beradik yang lain, bagaimana dia ingin menyara kehidupan keluarga nya kelak.

Ibu sangka mampu memujuk mereka berdua supaya berpisah dengan cara yang baik, sebalik nya mereka mengambil keputusan untuk lari berdua. Hampir seminggu Daud tidak pulang ke rumah. Merata rata ibu cari, tidak jumpa.

Ibu pergi rumah Hannan. Keluarga Hannan juga tidak tahu menahu ke mana mereka pergi malah langsung tidak peduli. Tidak hairan lah sikap Hannan begitu. Ibu pergi buat laporan polis bimbang jika keluarga Hannan menyalahkan Daud di atas kehilangan anak mereka nanti.

Petang sesudah Asar, along iaitu anak perempuan sulong ibu pulang dengan tergesa gesa menyuruh ibu bersiap. Penat ibu bertanya namun sepatah pun along tidak menjawab.

Setibanya di jabatan agama Islam, ibu lihat Daud bersama Hannan ada di situ. Bergitu juga dengan keluarga Hannan. Rupanya mereka telah ditangkap khalwat. Makin benci dan marah ibu kepada keduanya. Ibu mengambil keputusan untuk menikahkan mereka kerana mereka mengaku telah berziina.

Usai majlis akad nikah, keluarga Hannan pergi begitu sahaja. Hati ibu yang masih ada belas kasihan, bawa mereka berdua pulang ke rumah. Ibu benar benar kecewa dengan Daud. Ibu tertanya tanya kenapa dan mengapa Daud boleh hilang keimanannya sedangkan cara didikkan yang ibu bagi kepada setiap anak anak ibu semuanya sama rata.

Ibu jadi pendiam dan banyak berkurung dalam bilik. Seboleh bolehnya ibu cuba untuk tidak bertembung dengan Hannan atau Daud. Ibu jijik dan berasa sangat benci kepada mereka. Ibu lansung tidak boleh bersua muka dengan mereka.

Selesai masak, ibu akan asingkan lauk ibu dan membawa masuk ke dalam bilik. Bilik menjadi rumah kedua ibu. Masa ibu banyak dihabiskan di dalam bilik kecuali jika mereka keluar bekerja atau ada anak anak yang datang mengaji.

Betapa benci nya ibu kepada Hannan hingga sanggup ibu gelarkan dia sebagai menantu hantu jika setiap kali anak anak yang lain menghubungi ibu untuk bertanya kan tentang keadaan mereka berdua. Ibu tahu Hannan cuba untuk berbaik baik dengan ibu. Kadang kadang Hannan masak dan hidangkan untuk ibu.

Namun ibu biarkan begitu sahaja. Ibu juga menjadi takut untuk ke majlis majlis kahwin, tahlil atau apa sahaja kenduri kendara bimbang akan di persoalkan tentang Hannan. Bimbang terdengar umpat keji penduduk taman tentang Hannan.

Daud semakin lama semakin teruk. Hari hari ibu dengar mereka bergaduh. Kadang kala ibu lihat muka Hannan lebam lebam. Ibu langsung tidak perduli. Bagi ibu itu balasan untuk mereka yang tidak mahu mendengar kata orang tua.

Hannan pula tidak pernah mengadu. Mungkin dia takut ibu kembali memarahi dia. Hampir 9 bulan mereka bernikah, ibu tidak nampak di mana kebahagiaan mereka. Apa yang ibu nampak, hanya pergaduhan dan pertelingkahan di dalam perkahwinan mereka.

Satu hari, ketika ibu hendak pergi ambil wuduk untuk solat tahajud. Ibu nampak pintu dan lampu bilik mereka terbuka. Hati kecil ibu ingin tahu apa yang terjadi.

Ibu tinjau, hati ibu tersentuh bila melihat Hannan sedang mengelap tubuh badan Daud yang sedang tidur dengan tuala basah. Ibu terkenangkan bekas suami ibu. Hari hari balik mbuk. Ibu lah orang yang selalu mengelap badan nya yang berbau ar4k itu.

“Daud baru balik bu… Tak larat nak mandi”

Kata Hannan apabila menyedari ibu ada di muka pintu bilik mereka. Ibu melihat muka Hannan lebam dan bengkak. Ibu segera beredar. Perasaan sedih, marah dan kasihan bercampur baur.

Sekali lagi ibu terkenang kan bekas suami ibu yang sering memukul dan memaki hamun ibu pada setiap kali ibu tegur perbuatan haramnya itu.

Ketika ibu sujud tahajud, terbayang wajah putih bersih Hannan yang ibu nampak, rambut Hannan tidak lagi berwarna. Kuku tangan dan kaki Hannan tidak lagi bercat malah pendek dan bersih.

Apa yang menarik perhatian ibu, di kepala katil Hannan ada telekung sembahyang tergantung dan sejadah sedia terbentang. Semenjak daripada itu, kelakuan Hannan menjadi perhatian ibu.

Pulang sahaja daripada kerja, Hannan masak, Hannan mengemas, Hannan mencuci baju, menjemur dan terus melipatnya. Itulah rutin harian Hannan setelah setahun lebih menjadi menantu ibu.

Baru ibu perasan, pada setiap kali Hannan menjemur atau mengangkat pakaian dijemuran, ibu sering terdengar dia bertegur sapa dengan jiran jiran ibu. Jelas sekali Hannan seorang yang begitu peramah. Selama ini ibu langsung tidak pernah ambil tahu.

Rupanya semua jiran suka berbual dengannya. Hannan banyak bercakap, tidak berhenti henti dia bercerita. Ada sahaja topik yang keluar daripada mulut nya. Cerita tentang artis, drama TV, tentang berpoligami, tentang mnteri itu, mnteri ini, bah kan semua benda Hannan tahu.

Ibu perhati jer daripada tingkap bilik. Kadang kala ibu turut tergelak jika terdengar Hannan menceritakan tentang kerenah kerenah lucu pelanggan yang datang ke salon rambutnya kepada jiran jiran ibu. Ibu tidak pernah mendengar cerita cerita buruk keluar daripada mulut Hannan.

Satu hari, ada kematian belaku di taman ibu. Jnazahnya seorang perempuan tua yang ibu kenal dan agak rapat. Memandang kan ibu salah seorang sukarelawan mengurus jnazah, ibu pergi menziarah. Betapa terkejut nya ibu apabila melihat Hannan juga ada disitu sama sama sibuk menguruskan jenaazah.

” Pandai Kak Mie ajar menantu…”

” Untung Kak Mie dapat menantu pandai serba serbi..”

” Wah, dah maju nampak nya Kak Mie. Hantar wakil jer kalau ada kenduri kendara. Suka saya tengok menantu Kak Mie tu ringan tulang…”

Allahu Akbar… Selama ini, ibu takut dengan caci dan cerla jiran jiran setaman tetapi sebaliknya ramai yang puji Hannan. Ramai yang sukakan Hannan.

” Kak Mie kalau tak sihat, tak perlu susah susah datang. Menantu Kak Mie ada…”

Rupanya Hannan terlebih awal bagi alasan sekiranya ibu tidak datang ke mana mana majlis dan dia akan mewakilkan ibu untuk menjaga air muka ibu. Baiknya Hannan.

Begitu lah sekiranya ibu pergi kemana mana majlis atau kenduri, Hannan pasti akan mendahului ibu kerana kami pergi secara berasingan.

Ibu cuba mendekati Hannan. Ibu tidak lagi berkurung dalam bilik dan makan apa yang Hannan masak. Ibu belajar berbual dengan Hannan sama seperti ibu berbual dengan menantu ibu yang lain. Hannan tidak kekok dan daripada gelagatnya seperti tiada apa yang berlaku.

Menurut Hannan, segala yang dia tahu adalah didikkan dan ajaran daripada Daud. Daud ajar dia cara solat dan mengaji. Daud banyak menceritakan pada Hannan tentang ibu. Ketabahan ibu membesarkan 5 orang anak ibu tanpa seorang suami.

Hannan juga meminta ampun daripada ibu diatas segala yang telah berlaku. Ibu bersyukur walaupun Daud sering membuat ibu marah, Daud tidak pernah lupa setiap ajaran dan didikan agama yang selalu ibu titipkan kepadanya adik beradik.

Dua tahun lebih berlalu. Ibu semakin rapat dengan Hannan. Saakit pening ibu semua di ambil peduli. Hannan jaga ibu seperti ibu sendiri. Daud juga sudah bekerja tetap sebagai kerani sekolah. Mungkin rezeki mereka masih belum ada untuk punyai zuriat sendiri.

Daud juga sudah banyak berubah. Mereka tidak lagi bergaduh malah semakin berkasih sayang. Mungkin waktu itu ibu terlalu marah dan s4kit hati maka nama mereka tidak berada di dalam doa ibu. Tidak mendapat restu ibu.

Sekarang, nama Hannan lah yang selalu berada dalam doa ibu setiap masa. Semoga mereka perolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ibu sayang kan ‘menantu hantu’ ibu itu.

Anak anak sekalian…

Yang buruk jika sentiasa di gilap akan kelihatan cantik dan yang cantik kalau di abaikan kelamaannya akan buruk juga…

Mencantikkan sesuatu yang buruk bukan semua orang mampu lakukan. Jika ada, orang itu memang hebat. Tetapi yg mengabaikan sesuatu yang cantik sehingga menjadi buruk, ramai yang mampu lakukan.

Hargailah. Cintailah dan renungilah keindahannya sementara ada, in sha Allah kita akn nampk kelebihan di sebalik kekurangannya. Ibu.

Kredit : Cik Puan Ammy via edisimedia